PTS Bookcafe

BannerFans.com

Ziarah Masjid Melaka

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Alhamdulillah, kita bertemu kembali setelah sekian lama kami tidak meng"update" blog ini.  Sebenarnya memang banyak perkara yang ingin dikongsi bersama namun setiap kali jari mengetuk papan kekunci laptop ini, ada sahaja halangan yang mendatang (ini adalah alasan terbaik daripada beberapa alasan yang telah dicipta...hahaha).

Di dalam entry kali ini kami ingin membawa tuan-puan menjelajah warisan senibina beberapa masjid tua di Melaka.  Bagi pengunjung yang pertama kali ke Melaka, pasti akan dapat melihat perbezaan ketara di antara masjid-masjid yang terdapat di Melaka dengan kebanyakan masjid lain di seluruh Malaysia.  Terdapat beberapa perbezaan ketara yang yang dapat kita perhatikan pada senibina masjid di Melaka.  Pertama, kubah masjid di Melaka adalah berbentuk segi empat bertingkat/berlapis (3 lapis) di mana struktur bumbungnya disokong oleh empat tiang seri berbanding dengan masjid di negeri lain yang kebiasaannya mempunyai  kubah berbentuk bulat atau sfera.  Berlainan dengan kubah masjid biasa yang puncak kubahnya dihiasi dengan simbol bulan dan bintang, puncak kubah masjid tua di Melaka pula terdapat hiasan mahkota sepertimana yang biasa terdapat pada kebanyakan masjid tua di Kepulauan Jawa.

Perbezaan yang kedua adalah unsur-unsur pagoda yang terdapat pada senibina menara yang kebiasaan terpisah daripada bangunan utama masjid.  Sebelum kewujudan pembesar suara, menara ini berfungsi sebagai tempat untuk Bilal  melaungkan azan.  Satu lagi ciri yang sering dapat dilihat pada senibina masjid tua di Melaka adalah binaan pintu gerbang di laluan masuk utama ke kawasan masjid.  Kesemua ciri yang tersebut di atas merupakan gabungan pengaruh senibina Cina, Jawa, Sumatera dan India malahan sesetengahnya juga diadunkan dengan kemasan jubin yang dipengaruhi oleh kombinasi motif timur dan barat.

Jika diperhatikan juga, tarikh pembinaan kebanyakan masjid tua ini adalah selepas kependudukan Belanda di Melaka sedangkan Islam telah datang lebih awal iaitu semenjak zaman kesultanan Melayu Melaka lagi.  Keadaan ini terjadi kerana sewaktu era penjajahan Portugis, kebanyakan rumah ibadat bukan Kristian telah dimusnahkan termasuk sebuah masjid yang dikatakan tapaknya terletak di hadapan bangunan Stadhuyst (bangunan merah) sekarang ini.

Masjid Kampung Hulu

Masjid ini dibina pada tahun 1720 oleh Kapitan Cina Muslim dan dibiayai oleh   Syarikat Hindia Timur Belanda (V.O.C), Dato' Samsudin Arom.  Pada tahun 1892, bangunan ini telah diperkukuhkan dengan binaan batu oleh Syeikh Al-Omar Bin Hussien Al-Attas namun masih mengekalkan  ciri-ciri senibina asalnya.  Masjid ini juga merupakan masjid yang tertua di Malaysia yang masih berfungsi di tapak asalnya.

Pintu Gerbang laluan masuk utama Masjid Kampung Hulu (http://qulamirulhakim.blogspot.com)


Kolah wudhu' yang dibina dengan kemasan jubin bermotif klasik (http://artmelayu.blogspot.com)


Ruang solat utama.
Kubah bertingkat berfungsi memberikan pencahayaan dan sebagai sistem pengudaraan semulajadi.


Gabungan pengaruh senibina Cina, Jawa, Sumatera, India dapat dilihat dengan jelas dan memberikan keunikan yang tersendiri kepada kebanyakan masjid lama di Melaka (http://mrkumai.blogspot.com)




Masjid Kampung Kling

Tidak jauh dari Masjid Kampung Hulu, terdapat sebuah lagi masjid tua yang dikenali dengan nama Masjid Kampung Kling.  Senibina masjid ini tidak jauh berbeza dengan Masjid Kampung Hulu.  Struktur asalnya telah disiapkan pembinaannya oleh sekumpulan pedagang India Muslim pada tahun 1748.  Lokasi masjid ini yang terletak di Jalan Tukang Emas agak unik kerana di jalan tersebut juga terletaknya  dua buah lagi rumah ibadat lain iaitu Kuil hindu Sri Poyatha Moorthi dan Tokong Buddha Cheng Hoon Teng.

Disebabkan jarak di antara Masjid Kampung Hulu dan Masjid Kampung Kling yang agak dekat (hanya beberapa ratus meter sahaja), solat Jumaat diadakan secara bergilir di antara kedua-dua masjid tersebut.  Jadi jangan pula berasa hairan sekiranya salah satu masjid tersebut sunyi pada waktu solat Jumaat.


Warisan peninggalan pedagang India Muslim kurun ke-17 (http://www.thepoortraveler.net)


Menara dengan bentuk pagoda memperlihatkan pengaruh senibina cina (http://www.flickr.com)


Gabungan kepelbagaian pengaruh senibina yang menarik (http://artmelayu.blogspot.com)


 Ruang Solat utama (http://www.flickr.com)


Mimbar Masjid Kampung Kling tidak jauh berbeza dengan mimbar yang terdapat di Masjid Kampung Hulu (http://www.virtualtourist.com)



Masjid Tengkera


Dibina pada tahun 1728, masjid ini juga merupakan salah sebuah masjid tertua di Melaka yang masih berfungsi di tapak asalnya.  Seperti juga Masjid Kampung Hulu binaan asal Masjid Tengkera adalah daripada kayu dan beratap nipah.  Pada tahun 1890,  kerja kerja menaiktaraf telah dijalankan dengan menggantikan beberapa bahagian dengan binaan konkrit.

Satu perkara yang menarik di Masjid Tengkera adalah mungkin ia satu-satunya masjid tua di Melaka yang juga menempatkan makam kerabat di raja.  Makam yang dimaksudkan adalah makam Almarhum Sultan Hussein Muhammad Shah dari Johor yang telah mengiktiraf perjanjian awal penyerahan Singapura kepada Sir Stamford Raffles dengan Temenggung Abdul Rahman pada 6 Februari 1819.  Selepas penyerahan Singapura, baginda telah meninggalkan Singapura dan berpindah ke Melaka.  Baginda mangkat pada 5 September 1835 dan dimakamkan diperkarangan masjid ini.


Masjid Tengkera yang merupakan masjid kedua tertua di Melaka (http://nurakmar85.blogspot.com)




Keunikan senibina yang sukar dilihat di tempat lain (http://jinggo-fotopages.blogspot.com)

Makam Almarhum Sultan Hussein Muhammad Shah


Selain daripada tiga buah masjid di atas, terdapat beberapa buah masjid lama di Bandar Melaka dengan rekabentuk menarik warisan dari kurun ke-17.  Sudah pasti setiap masjid tersebut mempunyai kisahnya yang tersendiri.  Bertemu lagi di dalam entry berikutnya, in shaa Allah.




Wassalam.

Mahathir Mansor

**p/s: Sila hubungi kami sekiranya anda atau kenalan anda mempunyai rumah di sekitar Ayer Keroh atau Bukit Katil, Melaka dan ingin menjadikannya sebagai guesthouse.
















Pilihan di hati anda: Buat guesthouse atau sewa bulanan sahaja?

Assalamualaikum Tuan/Puan yang budiman,

Tajuk untuk entry kali ini adalah salah satu soalan cepu emas yang sering saya terima.  Ramai di kalangan sahabat saya yang murah rezekinya dan dikurniakan kelebihan untuk mampu memiliki lebih dari sebuah rumah, kini berada di persimpangan.  Tertanya-tanya samada rumah yang kedua atau ketiga dan seterusnya itu mahu dijadikan rumah tamu atau disewakan sahaja kepada penyewa tetap secara bulanan.  Mereka itu bertanya pula kepada saya yang sememangnya sedang ingin mendapatkan rakan strategik untuk mengembangkan bisnes rumah tamu dek kerana sering kekusutan untuk melayani permintaan yang semakin bertambah.  Sudah semestinya jawapan spontan yang terpacul dari mulut saya adalah--> "Buat guesthouse!!!" <-- keh...keh...keh :)

Walaubagaimanapun, kita harus menerima hakikat sebenar bahawa bukan semua perkara sesuai untuk sesuatu keadaan yang tertentu.  Begitu juga dengan bisnes rumah tamu.  Ada rumah yang sesuai dijadikan rumah tamu, ada juga yang lebih sesuai jika disewakan kepada penyewa tetap secara bulanan malahan ada juga rumah yang langsung tidak sesuai untuk kedua-duanya!!!  Hanya sesuai untuk didiami oleh pemiliknya sahaja.  Maka buatlah pertimbangan yang sewajarnya sebelum membeli rumah yang bukan untuk didiami.  Ada banyak keadaan dan situasi yang boleh mempengaruhi samada rumah tersebut sesuai untuk dijadikan rumah tamu atau lebih sesuai disewakan sahaja.  Contohnya lokasi persekitaran, akses ke kawasan perumahan tersebut, jenis rumah (rumah pangsa/apartment, teres, berkembar dll.), suasana kejiranan dan lain-lain lagi.  Kesemua faktor tersebut harus difahami dan diteliti sebelum sebarang keputusan diambil.

Walaubagaimanapun terdapat satu lagi faktor yang paling penting yang perlu dipertimbangkan.  Faktor tersebut adalah kesanggupan, kesediaan dan kemampuan anda untuk berhadapan dengan risiko.  Adakah anda sanggup, bersedia dan mampu untuk berhadapan dengan risiko turun naik perolehan pendapatan ataupun anda hanya inginkan pendapatan tetap tanpa risiko hasil dari sewaan tetap bulanan?  Sekiranya faktor kesanggupan, kesediaan dan kemampuan untuk menanggung risiko ini telah ditetapkan, maka kesemua faktor lain yang telah disebutkan di atas akan bertukar menjadi "pembolehubah" yang sudah tidak lagi dominan.  Berikut saya kongsikan tentang perbezaan di antara potensi rumah tamu dan rumah sewa. 

Rumah Tamu
Rumah Sewa
Risiko kerosakan rumah kurang.  Rumah sentiasa diselenggara dengan sebaik mungkin untuk mempastikan keselesaan tetamu.
Perlu mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk memperbaiki rumah setiap kali bertukar penyewa.
Pendapatan tidak menentu.  Bergantung kepada musim cuti dan aktiviti pemasaran.
Pendapatan tetap.  Tidak perlu pemasaran berterusan.
 Peluang untuk mengurangkan baki prinsipal pinjaman perumahan pada setiap hujung tahun (dan pada setiap kali musim cuti sekolah, insya'Allah).
 Peluang mengurangkan baki prisipal hanya bergantung kepada baki akaun 2 KWSP.




Dapatkah anda senaraikan lain-lain kelebihan dan kekurangannya?  Sekiranya ada, sila kongsikan di ruangan komen di bawah.  Semoga ia akan membantu sahabat-sahabat kita yang sedang buntu untuk membuat pertimbangan dan penilaian.  Insya'Allah.

 
Wassalam.

Mahathir Mansor

**p/s: Sila hubungi kami sekiranya anda atau kenalan anda mempunyai rumah di sekitar Ayer Keroh atau Bukit Katil, Melaka dan ingin menjadikannya sebagai guesthouse.



Pilihan di hati anda: BERSAING atau BEKERJASAMA?


Assalamualaikum Tuan/Puan yang bijaksana,

Ini adalah kepercayaan saya sebagai orang biasa yang tiada pendidikan khusus dan formal di dalam bidang bisnes dan pemasaran, “Tidak ada peraturan yang ‘rigid’ di dalam prinsip perniagaan dan keusahawanan.  Kita boleh melanggar apa sahaja peraturan yang dinyatakan secara akademik selagi peraturan tersebut tidak melibatkan ETIKA”.

Pada bulan Ramadhan baru-baru ini, Putera Guesthouse Melaka telah dijemput sebagai salah seorang ahli panel bagi slot bual bicara dalam sebuah program keusahawanan anjuran sebuah IPTA di Melaka.  Alhamdulillah, program tersebut mendapat sambutan yang amat baik dengan penyertaan lebih daripada 300 orang siswa/siswi.  Semoga mereka akan terlibat dalam bidang keusahawanan selepas bergraduasi nanti, insya’Allah.

            Salah satu soalan yang di tanya sewaktu slot bual bicara tersebut adalah, “Bagaimana Tuan menangani persaingan dalam bisnes guesthouse yang Tuan lakukan?”.  Kata kunci bagi soalan ini adalah “PERSAINGAN”.  Apabila menyebut tentang persaingan, pasti kita akan teringat tentang kata-kata nasihat oleh para pakar pemasaran, “Komuniti bisnes haruslah bersaing secara sihat.  Persaingan sihat akan mewujudkan persekitaran pasaran yang sihat seterusnya menghasilkan keadaan menang-menang kepada komuniti bisnes”.  Sebagai orang biasa, terus terang dikatakan bahawa kami agak skeptikal dengan pernyataan tersebut (sempena hari raya ini saya mohon ampun dan maaf daripada para pakar tersebut sekiranya mereka tidak bersetuju...keh keh keh).  Secara istilah dan maknanya, persaingan tersebut merujuk kepada perlumbaan atau pertandingan (competition).  Di dalam apa-apa pertandingan, pasti akan ada satu pihak yang menang dan satu pihak yang kalah.  Pernahkah anda mendengar dua pasukan bolasepak diisytiharkan sebagai Juara Bersama Piala Dunia FIFA?  Bunyinya pun sudah macam pelik dan kelakar.

            Suatu ketika, saya seringkali terpaksa menemani anak-anak kecil saya menonton program kanak-kanak yang disiarkan di televisyen.  Salah satu program kegemaran mereka adalah siri animasi “Wonder Pets”.  Satu frasa yang sentiasa diulang-ulang adalah, “…apa yang penting?...kerjasama…apa yang penting?...kerjasama…”.  Ya, siri animasi ini sangat bagus.  Ia memprogramkan pemikiran kanak-kanak supaya bekerjasama untuk menyelesaikan sesuatu masalah.  Oleh kerana sudah terlalu kerap melayani anak-anak menonton dan menyanyikan lagu “Wonder Pets”, secara tidak langsung frasa tersebut juga telah mempengaruhi dan meresap ke dalam pemikiran saya tentang pentingnya kerjasama.  Ironinya, ramai orang dewasa mengajarkan kepada anak-anak tentang peri pentingnya semangat kerjasama tetapi mereka sendiri tidak mengamalkannya.

            Segalanya bermula apabila saya “gatal mulut” untuk bersetuju menyediakan khidmat penginapan kepada sekumpulan trainer daripada sebuah syarikat pembekal perkhidmatan latihan IT professional.  Mereka memerlukan penginapan antara dua minggu hingga sebulan sebanyak enam buah rumah.  Sedangkan pada masa tersebut saya hanya mampu membekalkan dua buah rumah sahaja.  Ini masalah!!!  Apabila berhadapan dengan masalah, kita perlukan penyelesaian.  Dan cara paling mudah untuk menyelesaikan masalah adalah dengan bekerjasama.  Ya!!! Apa yang penting?...Kerjasama… Apa yang penting?...Kerjasama.  Mari kita minta bantuan Wonder Pets :)

Dengan membawa konsep kerjasama, saya telah menghubungi dan berjumpa dengan beberapa orang pemilik/pengusaha guesthouse persendiirian yang “bermasalah dan hampir putus asa” kerana tidak tahan dengan persaingan yang wujud.  Ada yang bersetuju, ada juga yang kurang yakin dan tidak kurang juga yang menolak cadangan saya mentah-mentah.  Tidak mengapa.  Saya hanya perlu fokus kepada pemilik yang bersetuju sahaja.  Hasilnya kini saya mampu menyediakan sehingga 13 buah guesthouse pada satu-satu masa dan insya’Allah jumlah tersebut akan bertambah (dengan beberapa unit rumah yang sedang dalam proses ubah suai).  Pemilik “bermasalah dan hampir putus asa” yang bersetuju dengan cadangan konsep saya itu juga sudah mampu tersenyum.  Guesthouse mereka kini tidak lagi sunyi sepi.

Inilah sebenarnya yang dimaksudkan dengan situasi menang-menang. Masalah syarikat tersebut selesai, masalah saya selesai, masalah pemilik “bermasalah dan hampir putus asa” juga selesai.  Semua orang menerima manfaatnya.  Sebelum saya menamatkan catatan kali ini, mari kita sama-sama menyanyikan lagu Wonder Pets :D

“Apa yang penting?...kerjasama…apa yang penting?...kerjasama…”


 Wassalam.

Mahathir Mansor

**p/s: Sila hubungi kami sekiranya anda atau kenalan anda mempunyai rumah di sekitar Ayer Keroh atau Bukit Katil, Melaka dan ingin menjadikannya sebagai guesthouse.

Mengapa guesthouse saya kurang sambutan? (Bahagian 2)

Assalamualaikum Tuan/Puan yang budiman,


Di dalam Bahagian 1 topik ini kami ada menceritakan bahawa syarikat gergasi seperti TOYOTA dan HYUNDAI melakukan kaedah "REVERSE ENGINEERING" di dalam penghasilan produk bagi perniagaan mereka. Terma yang kelihatan sangat hebat itu apabila diterjemahkan ke dalam bahasa orang biasa tetap membawa maksud "MENIRU". Tetapi mereka melakukannya dengan cara orang bijak.

Teknik meniru adalah satu langkah mudah untuk men"setup" sebuah guesthouse namun ia juga perlu dilakukan secara bijak. Langkah untuk meniru "arrangement" serta kemudahan hotel bajet bagi "setup" sebuah guesthouse bukanlah satu langkah yang tepat. Itu adalah langkah yang dilakukan oleh golongan perintis bisnes guesthouse dahulu. Pada waktu itu agak sukar bagi mereka mendapatkan rujukan atau contoh bagaimana untuk setup sebuah guesthouse. Kini sudah terdapat banyak guesthouse dan anda boleh membuat perbandingan serta memilih untuk meniru mana-mana yang sesuai dengan citarasa dan bajet anda.

Pakar-pakar pemasaran secara umumnya bersetuju bahawa harga yang rendah bukanlah jaminan untuk sesuatu produk itu akan menghasilkan jualan yang baik. Begitu juga dengan perkhidmatan guesthouse. Sekiranya tetamu berpuashati dengan kualiti perkhidmatan dan kemudahan yang kita sediakan, maka harga bukan lagi menjadi isu utama. Ubah "mindset" kita daripada tanggapan tipikal bahawa bisnes guesthouse ini menjual perkhidmatan. Tanggapan itu sebenarnya 200% salah!!! Di PUTERA GUESTHOUSE MELAKA, kami menjual kepuasan kepada tetamu kami. Tetamu kami membeli kepuasan menginap di guesthouse kami dan membawanya pulang serta "membahagi-bahagikan" rasa puashati tersebut kepada rakan-rakan mereka. Secara tidak langsung, "puashati" itu telah menjadi "marketing tools" kami. Inilah yang kami maksudkan dengan pernyataan di perenggan kedua dalam Bahagian 1 topik ini.

Satu elemen penting yang perlu ada pada seorang pengusaha atau pengendali guesthouse adalah "awareness" atau kesedaran tentang apa yang akan berlaku di tempat kita sekurang-kurangnya dalam tempoh dua atau tiga bulan yang akan datang. Ini adalah sangat penting supaya kita boleh merancang strategi pemasaran dan jualan dengan lebih berkesan. Tempahan awal bagi sesuatu acara yang tertentu akan memberikan kelebihan kepada kita untuk fokus kepada program pemasaran bagi acara yang berlainan pula. Tempahan awal juga akan meningkatkan reputasi guesthouse kita di kalangan tetamu dan bakal tetamu.

Semoga nota ini bermanfaat untuk anda. Insya'Allah kami akan terus berkongsi ilmu yang Allah s.w.t kurniakan kepada kami ini.Wassalam.

Mahathir Mansor
https://www.facebook.com/Putera.Guesthouse

**p/s: Sila hubungi kami sekiranya anda atau kenalan anda mempunyai rumah di sekitar Ayer Keroh atau Bukit Katil, Melaka dan ingin menjadikannya sebagai guesthouse.

Mengapa guesthouse saya kurang sambutan? (Bahagian 1)


Assalamualaikum Tuan/Puan yang budiman,

Kami sering menerima pertanyaan seperti tajuk di atas. Agak menakutkan kerana pertanyaan tersebut datangnya bukan sahaja daripada mereka yang baru memulakan bisnes guesthouse ini, malahan juga daripada rakan-rakan yang sudah lama (lebih daripada 1 tahun) melakukannya. Sedangkan jika mahu dibuat perbandingan, kadar sewa mereka lebih murah daripada guesthouse kami yang penuh hampir setiap hujung minggu dan melebihi 80 peratus "occupancy" pada musim cuti sekolah!!!
Sebelum kami meneruskan topik ini, adalah amat penting untuk kita sama-sama memperbetulkan "mindset" kita tentang "Jualan" dan "Pemasaran". Kedua-dua terma tersebut mempunyai tafsiran dan pendekatan yang berbeza. Kedua-duanya juga memerlukan skil berbeza yang hanya akan anda perolehi setelah anda melalui dan melakukannya. Adalah sangat baik sekiranya anda melakukan sedikit "homework" dengan mendapatkan sedikit ilmu daripada sumber bacaan bagi kedua-dua perkara tersebut. Aktiviti JUALAN yang berjaya akan membantu program PEMASARAN produk/perkhidmatan kita pada masa akan datang. Namun begitu, aktiviti PEMASARAN yang tidak berjaya juga boleh membantutkan program JUALAN produk/perkhidmatan kita pada masa akan datang. Oleh itu kita perlu melakukan kedua-duanya secara konsisten dan terancang untuk memastikan survival bisnes kita.
Untuk menentukan strategi pemasaran guesthouse, adalah sangat penting bagi kita mengetahui kehendak pasaran. Sebelum mengetahui kehendak pasaran, kita perlu terlebih dahulu tahu perbezaan di antara beberapa segment pasaran yang berlainan. Ingat!!! Tetamu yang cenderung untuk menginap di hotel mempunyai kehendak yang berbeza berbanding dengan tetamu yang cenderung untuk menginap di guesthouse atau homestay. Tetamu yang cenderung menginap di guesthouse juga terdiri daripada beberapa sub-segment yang berbeza. Maka, kumpulan sasar yang berbeza juga memerlukan teknik serta strategi pemasaran dan jualan yang berbeza.
"Arrangement" serta kemudahan yang disediakan di dalam guesthouse juga adalah salah satu faktor tarikan tetamu yang sangat penting. Langkah mudah untuk melakukannya adalah dengan "meniru". Syarikat-syarikat gergasi Jepun dan Korea seperti TOYOTA dan HYUNDAI juga melakukan langkah yang sama sewaktu memulakan perniagaan mereka. Cuma terma yang mereka gunakan adalah "REVERSE ENGINEERING". Nampak macam hebat tetapi jika kita terjemahkan kepada bahasa orang biasa, terma tersebut membawa maksud "MENIRU". Yang paling penting adalah mereka meniru dengan cara orang bijak.
Kami akan menerangkan lebih lanjut tentang langkah "MENIRU" di Bahagian 2 topik ini. Semoga perkongsian ini bermanfaat dan memberikan sedikit panduan kepada rakan-rakan yang sedang merancang untuk setup sebuah guesthouse.  Semoga kami akan terus diberikan kekuatan minda oleh Allah s.w.t untuk berkongsi sedikit ilmu yang dikurniakan-Nya kepada kami. Insya'Allah.

Wassalam.
Mahathir Mansor
https://www.facebook.com/Putera.Guesthouse


**p/s: Sila hubungi kami sekiranya anda atau kenalan anda mempunyai rumah di sekitar Ayer Keroh atau Bukit Katil, Melaka dan ingin menjadikannya sebagai guesthouse.

HOMESTAY atau GUESTHOUSE?

Assalamualaikum para pembaca yang budiman,

Di dalam salah satu posting promo kami pernah ditegur (kalau dibaca ayat yang beliau tulis, sebenarnya adalah ayat mengejek) oleh seseorang bahawa perkhidmatan yang kami tawarkan adalah bukan HOMESTAY. Kami mengambil positif teguran beliau itu kerana sememangnya apa yang beliau katakan itu adalah benar. Sebenarnya, jika anda lihat kepada butiran tentang kami samada di profil, laman Facebook mahupun laman web kami anda dapat lihat kami hanya menggunakan perkataan rumah tamu atau "guesthouse" sahaja kepada produk kami. Sila lihat profile Facebook kami (https://www.facebook.com/PuteraGuesthouse.Melaka) dan laman Facebook kami (https://www.facebook.com/Putera.Guesthouse).


Guesthouse bukan Homestay!!!

Betul!!! Sebelum kami berkongsi lebih lanjut tentang pengurusan bisnes rumah tamu, mari kita belajar terminologi yang betul dahulu. Secara am, kedua-dua perkhidmatan tersebut adalah berkaitan dengan perkhidmatan menyediakan tempat penginapan kepada pengunjung ke sesebuah lokasi pelancongan, percutian atau yang seumpama dengannya. Walaubagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan ketara di antara keduanya. Homestay adalah perkhidmatan penyediaan penginapan di mana tetamu akan menginap bersama-sama dengan tuan rumah, malahan mungkin juga perlu berkongsi dengan tetamu lain (jika tuan rumah tersebut menyediakan banyak bilik). Kebiasaannya, pakejnya adalah termasuk dengan penyediaan makan dan minum. Selain dari itu pengusaha homestay juga menyediakan pelbagai aktiviti sampingan, contohnya untuk para tetamu mereka merasai pengalaman suasana kehidupan di kampung seperti ke bendang, menoreh getah dan lain-lain lagi.

Berbeza dengan rumah tamu (selepas dari ini saya akan menggunakan perkataan Guesthouse), tetamu tidak perlu berkongsi kediaman dengan tuan rumah. Jadi tetamu akan berasa lebih "privacy". Dan itulah satu-satunya perbezaan di antara keduanya. Selain daripada itu, pengusaha boleh menyediakan semua pakej yang disediakan oleh pengusaha homestay (sekiranya beliau mahu). Di sini kita dapat melihat bahawa sebenarnya HOMESTAY dan GUESTHOUSE mempunyai segment pasaran yang berbeza. Oleh itu sudah tentu cara pemasaran dan kumpulan sasarnya juga adalah berbeza. Walaupun mungkin serupa tetapi tidak sama.

Persoalannya, mengapa kami menggunakan perkataan "homestay" pada nama profil & laman Facebook kami? Perkara tersebut akan kami terangkan kemudian. Insya'Allah, kami akan berkongsi dengan anda di entry yang berikutnya.

Wassalam.

Mahathir Mansor
www.PuteraGuesthouseMelaka.com